Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

Ramadan Mission CSM 1.0

Projek Kedua ‘Ramadhan Bersama Syria’

Tanggal 28/6/2013, Alhamdulillah team sukarelawan telah selesai membahagikan sumbangan kali pertama kepada pelarian Syria di kem pelarian untuk projek kedua ‘Ramadhan Bersama Syria’ di page ‘Tangisan Syria Di Bumi Jordan’. Projek ini baru dilancarkan seminggu yang lalu, tetapi memandangkan sambutan dari segi dana sangat menggalakkan, kami mengambil inisiatif pantas kerana pelarian di sini benar-benar memerlukan bantuan segera.

Team Sukarelawan mula bergerak membeli barang-barang sumbangan seawal jam 8.30 pagi dan mula bergerak ke kem selepas solat jumaat.

Sumbangan kali pertama kepada 10 keluarga pelarian ini berbentuk beras, tepung, minyak masak, gula, garam, teh dan kentang. Kos kesemuanya berjumlah kira-kira 300JD/RM1350 termasuk kos pengangkutan sukarelawan dan kos operasi. Insya Allah, pembahagian sumbangan akan diteruskan untuk kali yang kedua dan ketiga dalam bulan Ramadhan.

Sesekali ribut pasir datang menjengah. Bayangkan keadaan mereka yang setiap hari terpaksa menghadapi semua ini tanpa pilihan. Memandangkan kebanyakan ibu bapa mereka keluar bekerja, barang-barang sumbangan diberikan kepada anak-anak mereka yang ditinggalkan di khemah. Setelah selesai membahagikan sumbangan, kami mengambil peluang bermesra bersama anak-anak di sini.

Projek Kedua ‘Ramadhan Bersama Syria’

Tanggal 13/7/2013, Alhamdulillah team sukarelawan telah selesai membahagikan sumbangan buat kali kedua dan sempena bulan Ramadhan kepada pelarian Syria di kem pelarian sempena projek kedua ‘Ramadhan Bersama Syria’ di page ‘Tangisan Syria Di Bumi Jordan’. Projek yang dilancarkan kira-kira sebulan yang lalu ini mendapat sambutan dari segi dana yang sangat menggalakkan. Jadi, pihak kami menghantar bantuan secara berkala dan berterusan.

Misi bermula dengan pembelian barang-barang sumbangan pada jam 9 pagi. Seterusnya, kami terus bergerak ke kem pelarian tersebut untuk agihan.

Sumbangan kali kedua kepada 10 keluarga pelarian ini berbentuk beras, tepung, minyak masak, telur, gula, garam, teh dan kentang. Kos kesemuanya berjumlah kira-kira 300JD/RM1350 termasuk kos pengangkutan sukarelawan dan kos operasi. Insya Allah, pembahagian sumbangan seterusnya adalah pada 20 Julai 2013 yang akan datang ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada dermawan-dermawan yang menyumbang.

Selesai membahagikan sumbangan, sukarelawan mengambil peluang menyantuni anak-anak Syria di kem ini.

Insya Allah, barang-barang sumbangan ini cukup untuk kira-kira 1 minggu yang mendatang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada dermawan yang mengukir senyuman di wajah mereka!

Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelarian Syria Beserta Serahan Mega

Alhamdulillah. Tanggal 20 Julai 2013, pihak Tangisan Syria Di Bumi Jordan sudah selesai mengadakan majlis berbuka puasa dan majlis serahan mega kepada pelarian-pelarian Syria sempena projek kedua kami, ‘Ramadhan Bersama Syria’ yang dilancarkan baru-baru ini. Majlis sederhana ini turut disertai pimpinan dari Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-Bayt (PRISMA). Penerima sumbangan yang terdiri dari pelarian Syria di Kem Janub Al-Bayt di bawa ke majlis yang diadakan di rumah rasmi Pesatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-Bayt

Majlis serahan bermula pada jam 7 malam. Bas yang ditempah khas bergerak ke kem untuk mengambil keluarga pelarian ke majlis serahan yang diadakan di rumah rasmi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-Bayt (PRISMA). Sebaik mereka sampai, majlis bermula dengan bacaan doa dan majlis berbuka puasa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan solat maghrib secara berjemaah. Seusai solat, Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al-Bayt (PRISMA), Ustaz Aizuddin Kamal menyampaikan ucapan mengalu-alukan kedatangan 10 keluarga pelarian ini ke majlis serahan mega tersebut.

Seterusnya, simbolik serahan disampaikan kepada mereka oleh presiden pelajar, Ustaz Aizuddin Kamal dan koordinator projek, Saudara Ahmad Musa Al-Nuwayri. Serahan mega ini berbentuk bahan-bahan mentah seperti beras, tepung, gula, garam dan minyak. Turut diserahkan ialah sejumlah pakaian terpakai yang disumbangkan oleh pelajar Malaysia di sekitar Mafraq dan Irbid, Jordan. Selesai agihan, keluarga pelarian Syria di hantar semula ke kem mereka. Majlis selesai kira-kira pada jam 9.00 malam. Jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka yang menyumbang. Insya Allah, sumbangan yang diserahkan akan menjadi darah daging yang bakal menjadi saksi atas apa yang kita sumbangkan, di akhirat kelak. Jutaan terima kasih juga kepada sukarelawan yang terlibat dalam projek ini secara langsung, atau tidak langsung.

Memandangkan sumbangan wang yang berbaki masih banyak, Insya Allah projek ini akan diteruskan untuk membangunkan khemah mereka. Perancangan masa hadapan kami adalah untuk membina 2 khemah baru untuk mereka. Khemah pertama akan dijadikan surau untuk memudahkan mereka menunaikan solat jemaah, dan khemah kedua untuk dijadikan kelas untuk anak-anak Syria ini belajar. Insya Allah. Sebarang serahan sumbangan juga masih dialu-alukan dan dibuka.

Mengapa perlu menyumbang kepada kami? Kami berpusat di Jordan, jadi sebarang urusan tidak melibatkan orang tengah dan disampaikan terus ke tangan rakyat Syria yang memerlukan. Urusan agihan juga tidak melibatkan kos yang tinggi dan boleh disampaikan pada bila-bila masa.

Kongsikan entri ini

Berita Terkini

MEAL REPORT: Mega Event Sekolah KITA
MEAL REPORT: Ubah Suai Infrastruktur PBACSM
MEAL REPORT: Klinik Medical Village 2.0