Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

Majlis Konvokesyen Sekolah Kita I

20 Mei 2018. Alhamdulillah pada hari Ahad yang lalu wakil Cinta Syria Malaysia – CSM di Jordan telah mengadakan Majlis Konvokesyen Sekolah Kita I bertempat di Solah Amir, Mafraq. Majlis konvokesyen ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk meraikan anak-anak Sekolah Kita I yang telah berusaha keras dalam pelajaran sepanjang satu sesi ini. Majlis ini mensasarkan seramai 70 orang pelajar merangkumi pelajar tadika sehingga pelajar darjah 6.

Antara acara penting sekitar Majlis Konvokesyen Sekolah Kita I ini termasuklah penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar, persembahan daripada setiap kelas, begitu juga ucapan daripada barisan pendidik Sekolah Kita I. Yang mengagumkan, turut terdapat satu persembahan di mana seorang pelajar perempuan menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu!

Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjalan dengan lancar seperti yang dirancang, syukur dipanjatkan kepada tuhan. Dengan selesainya majlis konvokesyen ini maka berakhirlah sesi persekolahan 2017/2018. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis istimewa untuk anak-anak Sekolah Kita ini. Semoga tuhan membalas segala curahan tenaga dan masa dengan sebaik-baik ganjaran, insyaAllah.

Untuk yang bertanya mengapa kami adakan majlis ini dalam bulan Ramadhan, ianya adalah kerana terdapat ramai AJK kami yang akan pulang ke Malaysia sebelum aidilfitri ini, oleh itu, waktu ini kami mempunyai lebih banyak tenaga kerja dan pelaksana untuk program sebesar majlis konvokesyen ini. Di samping itu, keesokan harinya (selepas majlis konvokesyen ini) kami telah memulakan proses pengambilan pelajar baru untuk sesi persekolahan akan datang yang bakal bermula dalam bulan Julai nanti. InsyaAllah.

Mohon doa dan sokongan yang berterusan untuk kami di pihak Cinta Syria Malaysia -CSM dan untuk Sekolah Kita I dan terus mengikuti perkembangan kami!

Kongsikan entri ini

Berita Terkini

MEAL REPORT: Mega Event Sekolah KITA
MEAL REPORT: Ubah Suai Infrastruktur PBACSM
MEAL REPORT: Klinik Medical Village 2.0