Bergambar di KLIA sebelum bersama semua Tim Misi Ramadan For Syria 6.0 sebelum bergerak ke sempadan Syria-Turki dan Lubnan.
Tiba di Gaziantep.
Sekitar 12 tengah malam, perjalanan lebih 29 jam termasuk transit sana sini dan berpuasa sekitar 18 jam, alhamdulillah kami tiba di Gaziantep. Syukur, semuanya baik-baik belaka dan kami menikmati perjalanan pertama dengan semangat mahu berjumpa “keluarga” besar kita semua di kem-kem.
Misi kami di Gaziantep, Turki bermula dengan penerangan keseluruhan perjalanan sepanjang di Turki bersama NGO Bonyan awal pagi.
Sebuah perkenalan di antara dua negara yang sudah menginjak ke 4 tahun. Masih kekal jitu sehingga ke hari ini, alhamdulillah. Kami mulakan semua yang dirancangkan di Dapur Al Sham. Kami bekerjasama bersama ibu tunggal mangsa perang (pelarian) yang bekerja di dapur itu. Bersama kami menyediakan 400 pek makanan berbuka bagi pelarian Syria di kawasan tersebut.
Kemudian kami bergerak ke Dar Istishfa’. Sebuah pusat rehab yang menyediakan bantuan berbentuk perlindungan, rawatan dan perubatan kepada mangsa perang secara langsung.
Bahagian paling memberi kesan adalah apabila salah seorang kanak-kanak yang lumpuh akibat ditembak di kaki sudah mula boleh berjalan semula selepas menerima rawatan demi rawatan di sini. Misi hari pertama ditutup dengan berbuka beramai-ramai bersama mereka.
Inilah hasil sumbangan kalian!
Macam tak percaya sekali lagi kami diizinkan masuk ke dalam Syria buat kali ke-3.
Kali ini urusan di sempadan lebih lancar. Kami dibenarkan masuk tanpa apa-apa masalah. Cuma kehadiran MizzNina memberi banyaknya makna kali ini, beliau kali pertama dapat sertai misi masuk ke dalam Syria. Aktiviti bermula dengan lawatan ke stor yang menempatkan barang-barang bantuan. 400 buah kotak berisi beras, gula, minyak, herba, kacang dal dan lain lain tersusun kemas.
Juga set baju raya sebanyak 200 pasang, diagihkan kepada anak-anak yatim. Agihan pek makanan dilakukan di sebuah kem sejauh mata memandang di tengah-tengah padang pasir Jarablus, Syria.
Senyuman di wajah mereka sebaik bantuan bertukar tangan adalah pemandangan paling indah kalian nikmati. Malah mereka sendiri tidak kira tua atau kanak-kanak berebut membantu menurunkan kotak berisi bantuan makanan sebelum diagihkan.
Hari Ke – 4 di Di Sanliurfa
Kami mengagihkan pek makanan ke keluarga Syria yang cukup untuk menampung keperluan mereka untuk 2 – 4 minggu. Aktiviti sebelum berbuka kami lengkapkan dengan menyantuni anak-anak yatim dari Al-Sham Association dengan beraktiviti di padang.
Sebanyak 500 pek makanan telah kami agih dan hidangkan sebagai juadah berbuka puasa buat ibu tinggal dan anak anak yatim Al-Sham.
Pada hari ke – 5, mata mata kami jadi saksi kegembiraan ibu ibu tunggal Al Sham ketika anak anak mereka bebas dan riang berlari. Tim kami turut didatangi beberapa ibu yang terus memeluk erat dan berkali kali mengucapkan ‘Terima Kasih’.
Tenang! Hati kami menjadi tenang dan sebak. Mereka sangat menghargai apa jua yang kami berikan. Mereka turut titipkan salam dan doa doa buat rakyat Malaysia yang sering menjadi pembantu utama. Aktiviti sebelum berbuka kami lengkapkan dengan menyantuni anak-anak yatim dari Al-Sham Association dengan beraktiviti di padang.
Sebanyak 500 pek makanan telah kami agih dan hidangkan sebagai juadah berbuka puasa buat ibu tinggal dan anak anak yatim Al-Sham.
Hari ke – 5 di Syria
Selepas beberapa minit melalui sebuah pasar menuju ke stor tempat kotak makanan milik Cinta Syria Malaysia disimpan, kami mendapat maklumat yang mengejutkan. Ada bom yang diletakkan di sebuah motosikal meletup di pasar tersebut.
Kami mengambil keputusan drastik. Hanya satu sesi agihan akan dilakukan. Manakala perancangan kami untuk membuat lawatan ke dapur yang menyediakan makanan berbuka milik CSM dan agihan iftar di sekitar kem akan dilakukan oleh NGO di sini. Kami perlu segera masuk semula ke dalam Turki atas faktor keselamatan.
Dan alhamdulillah, tim selamat tiba di bumi Gaziantep kira-kira jam 5 petang waktu tempatan. Kami juga mendapat maklumat, seramai 16 orang cedera akibat letupan tersebut.
Gambar sekitar agihan di Jarablus, Syria sebelum kami bergegas masuk semula ke dalam Turki selepas ada letupan yang berlaku di sana.
Tepat jam 10 pagi kami kami berangkat ke sebuah kem di Sanliurfa untuk mengagihkan sebanyak 400 kotak makanan. Seperti biasa, setibanya tim kami disana, mereka seolah-olah sedang menantikan kedatangan kami. Dari jauh sudah terlihat anak-anak melambai dan melompat gembira.
Nampak kecil sumbangan diagihkan, namun percayalah, inilah yang mereka nanti nantikan. Sanggup diusung kotak kotak agihan itu jauh ke kediaman masing-masing, berjalan jauh dan membawa kotak serta beras-beras berat tersebut.
Hari terakhir di Turki!
Kami membawa beberapa keluarga ibu tunggal membeli pakaian raya untuk anak-anak mereka. Keluarga ini kematian ayah (atau suami) yang mana isteri terpaksa menjaga anak-anak sendirian selepas kematian suami masing-masing akibat perang di Syria.
Salah seorang anak di dalam video ini, dari awal membeli sampailah membayar, duk menangis. Beli baju, menangis. Beli kasut, menangis, beli stokin, menangis. Kami duk tertanya banyak kali sampailah di kaunter bayaran, ada yang tolong tanyakan kenapa, dan jawapannya ialah,
“Saya dah lama nak baju tu, baju tu, baju yang tu. Terima kasih banyak-banyak belikan untuk saya.” Dan kemudian beliau menangis lagi teresak-esak. Ibunya memeluk dan mengesat matanya juga berkali-kali. Udahnya kami semua pula nak menangis. Huhuhu. Mereka ini dihambat rasa pilu setiap kali raya. Tiada makanan, tiada baju tiada persediaan.
Namun kalian yang menyumbang melalui Ramadan Mission CSM kali ini. Kita terima lebih RM1 juta, dan dari itu jugalah kita ambil sedikit bahagian untuk membeli pakaian dan buat sedikit persediaan untuk mereka ini. Sekurang-kurangnya kali ini mereka menangis kerana gembira sangat, bukan lagi menangis kerana kesusahan yang sukarnya nak kita hadam.
Di Lubnan kali ini;
Kami diberi peluang untuk bermalam di kem pelarian bersama 320 buah keluarga Syria yang lain. Berkongsi cuaca dan suasana yang sama. Agihan di Lubnan bermula di Kem Al Rahman kepada 92 buah keluarga berbentuk kotak berisi barangan keperluan makanan selama sebulan. Kemudian diakhiri dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama mereka.
Kami teruskan misi dengan mengedar makanan kepada 92 buah keluarga di kem pelarian Al-Rahman, kami diminta duduk sama-sama. Mereka hidangkan nasi. Ada lauk ayam ada juga lauk daging. Sedap ya Allah.
Selesai sahaja, mereka hidangkan pula makanan pencuci mulut. Manis-manis semuanya. Kami hanya ambil sedikit sahaja. Kemudiannya diserbu anak-anak yang lain. Namun ada 1 peristiwa kecil yang buat kami cepat-cepat ambil telefon dan terus tangkap gambar. Ia adalah momen seorang ayah yang mengutip sisa pencuci mulut itu kemudiannya menyuapkan ke mulut anak-anaknya.
Dikorek-koreknya berulang kali. Dikikis semua yang ada di pinggan, diambil semua sisa itu sampai habis licin. Semuanya disuap ke anak-anaknya. Ya Rabb, besarnya kasih sayang mereka ini. Ini antara benda yang kami duk belajar. Susah atau senang, kasih sayang kepada anak, tak boleh pudar langsung.
Masa senang, suaplah makanan yang sedap,
Masa susah terus menjamu mana yang ada. Kerana setiap suapan dari emak ayah itu besar maknanya. Ya Tuhan, lekas-lekaslah beri mereka ini aman. Supaya mereka kembali senyum di meja makan, kembali gembira di rumah sendiri dan kembali berlari ke sana sini di luar rumah.
Sepanjang Ramadan Mission CSM kali ini, hari ini adalah hari paling mencabar. Bayangkan, seawal jam 9 pagi kami sudah mula bergerak ke Kem Pelarian Arsal. Perjalanan selama dua jam dengan jalan yang berlubang dan berbukit di bawah panas terik matahari.
385 kotak berisi keperluan makanan dan 2,085 pek makanan berbuka puasa. Semua kami kena agihkan sendiri di bawah pemantauan URDA. Bergilir juga kerana berat-berat kotaknya.
Saat paling mengharukan adalah di kem yang terakhir. Azan maghrib sudah mula berkumandang namun agihan belum bermula. Alhamdulillah tidak ada seorangpun dari kalangan kami yang berganjak, teruskan sahaja sampai siap.
Masing-masing menyuapkan sebiji kurma sebagai syarat berbuka, lalu agihan kami teruskan sehingga selesai. Segalanya tamat kira-kira jam 8 malam, alhamdulillah.
Selepas berhempas pulas semalam, hari ini kami santai-santai sahaja. Kami mula dengan agihan kotak makanan kepada volunteers yang berkhidmat di klinik wakaf oleh URDA.
Kemudian team berpecah kepada dua kumpulan. Noh Salleh, Mizz Nina, Puteri, Zakaria dan Fira ke kedai untuk membeli mainan buat anak anak di kem. Manakala Musa, Altimet, Aizat, Khairul, Cikgu Ahmad dan Abdullah ke dua buah kem untuk mendengar kisah mereka.
Agihan diteruskan. Kali ini kami ke Kem Basmeh yang terletak di Beqaa. Kesemua 85 buah keluarga di sana mendapat satu kotak berisi bahan kering dan satu pek makanan berbuka puasa. Misi diakhiri dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama.
Hari terakhir di Lubnan buat kami hilang kata-kata. Ada rasa sedih untuk menghadapi realiti kami akan meninggalkan bumi tempat kami berjuang selama lima hari di sini. Dalam masa sama, teruja untuk kembali ke bumi Malaysia beberapa hari lagi nak menjelang hari raya.
Amanah kalian sudah kami sampaikan kepada yang berhak menerima. Dengan janji, kerja-kerja mulia ini tidak akan pernah berhenti. Ketahuilah, sokongan dan dorongan kalian menjadi penguat kepada kami untuk terus bergerak meninggikan hal kemanusiaan. Ia hak semua yang wajar dituntut oleh semua manusia.