Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

Ini kali kedua misi Cinta Syria Malaysia – CSM diadakan di tiga negara secara serentak. Jika Misi Musim Sejuk yang lalu kami hanya berempat, hari ini Tuhan jadikan 9 orang. Jika sebelum ini kami bawa RM331,395.20, tahun ini Tuhan tambah jadi RM762,454.98. Apa yang kami impikan cuma satu. Semoga pemergian untuk Winter Mission 6.0 ini mampu mengukir ribuan senyuman di wajah saudara Syria.

Kesemua 9 orang ahli misi bertolak bersama-sama dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat jam 9 pagi pada 10 Disember 2018.

30 jam kami berada di atas kapal terbang termasuklah transit, dan akhirnya kami selamat tiba di Gaziantep, Turki tepat jam 11.00 pagi (waktu tempatan). Noh Salleh, Mizz Nina dan Aizat Amdan tiba lebih awal dari kami. Kami berehat satu jam untuk mandi, bersihkan diri dan ambil nafas sekejap. Selepas itu, kami terus ke Bonyan untuk mendengar sesi penjelasan program di sini.

Berhenti seketika untuk makan tengah hari sebelum misi diteruskan ke rumah anak anak yatim Al Sham. Dua jam kami beraktiviti bersama mereka. Bermain, bernyanyi, berlari. Mengukir senyuman di bibir anak-anak yang kesemuanya tidak berbapa angkara kerakusan manusia gilakan kuasa. Misi hari pertama ditutup dengan juadah makan malam lazat bersama anak anak syurga.

Alhamdulillah. Hari kedua menjadi hari yang panjang buat kami, kami berpecah kepada 2 kumpulan: Kumpulan 1, ke Syria, Musa, Noh, Khairul Hakimin dan Cikgu Ahmad. Manakala, Kumpulan 2, Mizz Nina, Aizat, Dr Faiz, Matt dan Ibni akan ke Kem Pelarian di dalam Turki.

Kami dipecahkan kepada dua team. Team pertama yang terdiri daripada Aizat Amdan, Mizz Nina, Dr Faiz, Ibni Barakat dan Matt terus berada di Turki untuk pengagihan pakaian musim sejuk buat pelarian Syria di sini.

Mereka membuka pusat agihan ala-ala bazar. Pelarian Syria yang sudah diberikan kupon akan membawa keluarga mereka, memilih dan mengambil pakaian yang diberikan secara percuma. Misi diteruskan pula ke Dar-Estishfa’ yang merupakan pusat rehabilitasi kepada mangsa perang yang terlibat secara langsung.

Ada di antara mereka yang putus kaki akibat dibom kereta kebal, ada yang buta ditembak sniper dan ada yang kehilangan muka akibat senjata kimia!

Gambar sekitar bazar percuma yang dibuka Cinta Syria Malaysia. Pelarian Syria diberikan kupon yang membenarkan mereka mengambil keperluan musim sejuk secukupnya. Juga gambar ziarah di pusat rehabilitasi yang menempatkan pelarian perang Syria yang terkesan secara langsung.

Team kedua yang terdiri daripada Noh Salleh, Musa Nuwayri, Khairul Hakimin dan Cikgu Ahmad bergerak masuk ke dalam Syria. Walaubagaimanapun, ada sesuatu yang tak disangka-sangka berlaku!

Jam 10 pagi kami sudah terpacak betul-betul di hadapan pintu sempadan. Ia adalah tembok besar yang memisahkan antara Turki dan Syria. Kami perlu menunggu NGO Turki yang akan membawa kami masuk ke dalam Syria. Ikut jadual, kami akan bersama mengagihkan minyak untuk mengisi pemanas mereka. Juga menziarahi anak-anak sempena perasmian sekolah baru di dalam sana.

Selepas 10 minit menanti, van yang kami naiki terpaksa berpatah balik ke pekan Kilis. Rupanya ada tanda tangan yang tidak diambil di pejabat menteri besar menyebabkan kami tidak dibenarkan masuk. Kami langsung tidak mengeluh. Perasaan teruja ketika itu mengatasi segalanya. Ada juga sedikit debar dan gelisah bersilih ganti.

Selesai. Van bergerak semula ke arah sempadan. Dan kami diarahkan untuk menanti sekali lagi di tempat yang sama. Selepas 3 jam. Masih belum ada apa apa khabar dari dalam. Keizinan bertulis masih belum dikeluarkan. Ketika itu hanya doa yang dipanjatkan supaya kami diberi peluang menjejakkan kami ke dalam tanah Syam yang diberkati. Amanah kalian wajib disampaikan!

Tiba-tiba, sedang asyik bersembang kecil, ada bunyi berdentum, sangat kuat. Ianya seperti hempasan sesuatu yang jatuh dari langit. Bergegar hingga kami semua dapat rasa gegaran sama. Bayanglah, van kami kedap, bertutup semuanya namun gegaran dan bunyi itu mengejutkan kami semua.

“Lori langgar lubang mungkin.” Kata Noh cuba sedapkan hati. Selang beberapa minit, wakil NGO yang membawa kami memanggil Musa ke depan.

Telefon dibuka lalu sesuatu ditunjukkan, “Tempat yang akan kita agihkan bantuan baru sahaja dibom!” Kami terdiam. Ya Allah. Semua tak terkata. Ianya berada betul-betul di laluan kami akan menyusur nanti. Ya Rabb, tuhan masih ingin kami hidup. Tuhan takdirkan kami lupa untuk ambil tanda tangan menyebabkan kami terpaksa berpatah balik. Tuhan tahan kami di sempadan dan melambat-melambatkan perjalanan untuk menyelamatkan kami dari dibom. Serangan itu membunuh seorang kanak-kanak perempuan dan menyebabkan 20 yang lain cedera parah. Perjalanan semakin mendebarkan, ya sungguh.

Misi diteruskan. Agihan karpet dan pek makanan diserahkan kepada pelarian Syria di sekitar Gaziantep, Turki. Kami ke rumah mereka satu persatu. Mendengar cerita hati dan luahan mereka.

Sedih semuanya apabila salah seorang penerima bantuan memberitahu yang itu adalah kali pertama beliau menerima bantuan sejak menjadi pelarian di Turki sejak 6 tahun lalu. Kemudian kami ke kompleks beli belah bersama 6 buah keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal dan anak anak yatim.

Mendapatkan barang keperluan bagi menghadapi musim sejuk yang semakin menggila. Nikmati senyuman di wajah mereka hasil sumbangan kalian semua!

Kami harungi berbagai lagi cabaran hari demi hari. Jika sebelum ini kami hanya di pekan Gaziantep, kali ini kami teruskan agihan di kem pelarian sekitar Sanliurfa.

Pemandangan di hadapan kami adalah puluhan khemah bersama lumpur akibat hujan. Juga anak anak yang berlari di atas tanah tanpa sebarang alas. Dan suhu ketika itu adalah 9 darjah celsius! Sedang kami sendiri memakai boot, baju sejuk berlapis-lapis, mereka tidak. Khemah mereka hanya ada tikar nipis, beberapa selimut, kanvas yang menjadi dinding dan atap.

Senyuman di wajah mereka ketika bantuan disampaikan bakal membuatkan anda juga tersenyum sepanjang hari. Kerana kesemuanya adalah hasil sumbangan daripada kalian yang tidak putus putus menyokong kerja amal ini.

Biasanya gua menjadi tempat berlindung untuk haiwan. Apabila hujan, salji dan apa sahaja yang datang dari langit sana, semua hidupan terasa mahu berlindung, dan gua akan jadi ruang kecil untuk mereka. Namun tidak di Sanliurfa, Turki. Pelarian terpaksa mendiami di celahan gunung ganang kerana tidak mampu untuk menyewa di mana-mana rumah.

Team misi turut mendaki bukit bukau di sini untuk memastikan bantuan sampai kepada kawasan terpencil. Boleh tahan licin. Dan yang paling mengharukan, mereka tinggal di dalam gua yang sama bersama ternakan yang mereka jaga. Bau najis lembu dan kambing di mana-mana. Dan itulah “rumah” mereka.

Saksikan keadaan pelarian Syria di Sanliurfa, Turki yang terpaksa mendiami di celahan gunung ganang kerana tidak mampu untuk menyewa di mana-mana rumah. Kami sendiri turut mendaki bukit bukau di sini untuk memastikan bantuan sampai kepada kawasan terpencil.

Momen momen yang sempat dirakamkan. Di akhir video, air liur salah seorang pelarian Syria OKU yang kami ziarahi mengalir. Aksi spontan Noh ke atas beliau membuatkan semua terdiam. Moga Allah rahmati beliau dan kita semua. Semoga anda tersenyum pada hari yang bahagia ini.

Hari terakhir di bumi Turki, kami menziarahi sekolah yang ditaja oleh Cinta Syria Malaysia di Kilis, iaitu pekan yang terletak betul betul di sempadan Syria-Turki. Sekolah ini juga dikenali sebagai Sekolah KITA (II) cawangan ke-2.

Kami mengagihkan 320 buah beg sekolah berisi alat tulis, al-mathurat dan kit pakaian musim sejuk berupa topi, sarung tangan, mafla dan stokin. Dapat melihat keceriaan mereka semasa memegang beg masing-masing memang sebuah kepuasan. Alhamdulillah.

Maka dengan ini misi musim sejuk di Turki sudah selesai. Team akan bergerak ke Lubnan pula hari ini untuk meneruskan penyampaian amanah-amanah kalian kepada mereka pula di sana.

Selesai sudah misi kami di bumi Turki pada tahun ini. Kami akan bergerak ke Lubnan pula pada malam ini untuk menyampaikan amanah kalian kepada saudara kita di sana. Ada 4 hari dengan banyaknya aktiviti menghantar bantuan ke sana ke mari.

Ramai yang tertanya, bila kami berehat, entah. Susah nak jawab soalan begitu. Apabila kami sudah sampai di kem-kem, hilang segala penat, rasa puas melihat wajah gembira mereka menerima apa yang kami bawa. Semasa musim sejuk, kayu api, gas, petrol semuanya perlu disediakan untuk pelarian. Jika tiada, maka kesejukanlah mereka. Belum lagi dengan selimut semua bagai.

Salam sdari Lapangan Terbang Sabiha, menuju ke Beirut, Lubnan.

Team misi selamat tiba di bumi Lubnan semalam, alhamdulillah.
Namun, masalah internet yang terbatas di sini menyebabkan kemaskini gambar dan video agak lambat dikeluarkan dan diberikan kepada kalian.

Misi di Lubnan ini agak istimewa kerana kesemua daripada team kami bermalam di kem bersama 340 buah keluarga pelarian Syria yang lain. Ia memang pengalaman yang amat bermakna buat kami.
Terasa seperti ada keluarga besar di sini.

Kami sudah selesai mengagihkan 20 liter diesel kepada setiap keluarga di kem ini. Diesel berkenaan akan digunakan untuk membolehkan pemanas mereka berfungsi di dalam musim sejuk sekarang. Juga 1,000 set roti untuk mereka mengalas perut seisi keluarga.

Sepanjang 10 hari misi berlangsung, semalam adalah hari yang paling memenatkan, dengan waktu yang tak berapa panjang, kami bertungkus lumus mengedarkan sumbangan kalian kepada semua warga Syria di kem ini.

Bayangkan di dalam tempoh satu hari, kami mengagihkan lebih 600 pek makanan, 100 botol berisi 20 liter diesel dan 150 pek gula-gula kepada 7 buah kem di sekitar Arsal, Lubnan. Dan semuanya itu kami lakukan sendiri dengan bantuan NGO URDA di sini. Alhamdulillah.

Kepenatan yang sangat berbaloi apabila melihat mereka tersenyum lebar menerima sumbangan daripada kalian. Balik sahaja ke bilik, kami sambung menyiapkan tugasan media khas untuk kalian melihat suasana kami di sini. Syukur, kadang-kadang yang beginilah kami nantikan. Waktu penuh, berisi dan lengkap dengan emosi yang bersilih ganti.

Nikmati video hari terakhir daripada kami sekaligus menandakan berakhirnya Winter Mission CSM 6.0 untuk tahun ini. Kami mengambil peluang untuk sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada kalian yang menyumbang sama ada di dalam bentuk wang ringgit, like ataupun share.

Your Help, Their Future.

Kongsikan entri ini

Berita Terkini

MEAL REPORT: Mega Event Sekolah KITA
MEAL REPORT: Ubah Suai Infrastruktur PBACSM
MEAL REPORT: Klinik Medical Village 2.0