Mereka adalah sebuah keluarga pelarian Syria yang tinggal di pinggir bandar Mafraq, Jordan. Abdul Razak Sultan menyewa rumah kecil dan tinggal bersama isteri dan 4 orang anaknya. Masalah pada kaki membantutkan hasrat Abdul Razak untuk bekerja.
Anak Sulung Abdul Razak bernama Iman berumur 10 tahun. Yang kedua bernama Aiman berumur 8 tahun, diikuti Yamin 7 tahun dan si bongsu bernama Khudur berumur 2 tahun 6 bulan. Kesemuanya tidak bersekolah kerana masalah di sekolah. Pelajar-pelajar lain membuli dan menggangu menyebabkan mereka tertekan dan tak mampu meneruskan persekolahan.
Abdul Razak baru berpindah ke rumah ini selepas disuruh keluar dari rumah yang lama atas alasan anak tuan rumah ingin berkahwin. Tetapi saya dapat merasakan itu hanya alasan tuan rumah supaya Abdul Razak berpindah kerana baru-baru ini, dia ada menelefon seorang pelajar Malaysia dan mengatakan yang dia bakal dihalau jika tidak mampu membayar tunggakan sewa sebanyak 100 Dinar/RM450.
Saya ke rumah barunya dengan membawa beberapa barang keperluan seperti roti, beras, gula dan teh. Kehadiran kami disambut dengan senyuman melebar. Kami diajak bersembang di luar sambil menghirup teh yang dihidangkan. Abdul Razak bercerita panjang tentang masalahnya tanpa keluhan atau tanda-tanda menyesal di atas apa yang sedang dilaluinya.
Tiada apa yang ada di rumah baru ini selain daripada sebuah televisyen dan timbunan tilam tinggalan tuan rumah dan peti sejuk serta mesin basuh pemberian Jam’iah Khairiyat/Jabatan Masyarakat. Jujur saya katakan, rumah beliau terlampau kecil untuk diduduki 6 orang dan rumah ini juga tidak mempunyai sebarang bilik.
Apabila ditanya apakah yang dapat kami bantu, Abdul Razak menjawab “Insya Allah saya masih mampu menanggung semuanya secara sedikit-sedikit, tetapi saya tidak mampu untuk membayar sewa sebanyak 150 dinar/RM675. Ya! Kebanjiran pelarian Syria di Jordan menyebabkan tuan rumah menaikkan harga sewa sesuka hati. Bayangkan rumah sewa yang begitu kecil begitu mahal dan langsung tidak berpatutan.
Projek sulung saya ini adalah untuk mencari rakyat Malaysia budiman yang sudi menampung harga sewa rumah Abdul Razak agar beliau, isteri
dan 4 anak-anak comelnya tidak dihalau buat kali kedua. Mungkin bukan sumbangan RM675 sekaligus, tetapi jumlah sekecil RM10 secara konsisten setiap bulan seramai 70 orang sahaja Insya Allah sudah lebih dari mencukupi. Juga kos untuk menyekolahkan anak-anak mereka di sebuah sekolah yang cikgunya sudah saya kenali.
Selama ini kita menangis melihat rakyat Syria disembelih seperti haiwan. Kita menangis melihat beribu-ribu anak-anak Syria menjadi yatim sekelip mata. Selain berdoa, saya membuka peluang seluasnya untuk anda sama-sama menyumbang secara langsung kepada mereka. Ayuh rakyat Malaysia prihatin. Keluarga Abdul Razak juga layak hidup selesa sebagaimana kita. Anak-anak comel ini juga perlukan pelajaran untuk masa hadapan. Hulurkan bantuan, ringankan beban.