24 Januari 2018 – Dengan sumbangan dan kerjasama daripada pihak PKIMB, kami telah meneruskan misi bantuan musim sejuk pelarian Syria dengan aktiviti agihan ke kem-kem pelarian sekitar Mafraq, Jordan. Agihan kali ini adalah agihan berskala besar memandangkan aktiviti agihan seperti ini sudah agak lama terhenti sebelum ini kerana kami lebih berfokus pada sekolah, di samping faktor dana yang kurang mencukupi.
Agihan semalam telah menyaksikan sumbangan dan bantuan dihantar ke 5 buah kem-kem pelarian. Rata-rata jumlah keluarga untuk setiap kem adalah lebih kurang 20 hingga 30 buah keluarga. Antara barang agihan yang telah diberikan adalah seperti pek makanan asasi, selimut tebal, pakaian musim sejuk, pampers bayi, dan sebagainya.
Aktiviti agihan sumbangan semalam diakhiri dengan kem Abu Abdullah yang semestinya sudah tidak asing lagi bagi kami. Di situ, kami telah menjalankan agihan dan selepas itu kami makan tengahari bersama-sama penduduk kem.
Secara keseluruhannya, agihan semalam telah berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Terima kasih kepada pihak delegasi PKIMB atas sumbangan yang diberikan. Terima kasih juga kepada para sukarelawan yang telah membantu kami menjalankan agihan ini. Semoga tuhan membalas jasa kalian dengan sebaik-baik ganjaran. InsyaAllah.