Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

Buat pertama kali, Cinta Syria Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia selaku penganjur bersama, menganjurkan Festival KITA pada 19 Ogos 2023 dengan kerjasama Runaway dan Bikeaway. Festival KITA adalah acara sukan sambil beramal iaitu larian dan berbasikal untuk membantu pendidikan anak-anak Syria dan Palestin. Lebih menarik lagi, Festival KITA yang berlangsung di Taman Wetland, Putrajaya ini diadakan bersempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia.

Objektif utama Festival KITA adalah memberi ruang dan peluang kepada 2,000 orang awam untuk membantu kos operasi dan perkembangan Sekolah KITA, iaitu pusat pendidikan yang diusahakan oleh Cinta Syria Malaysia di Jordan, Syria dan Malaysia. Turut terlibat dalam Festival KITA adalah 43 orang pelajar UCMI dan 20 orang pelajar Syria dari Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (PBACSM).

Program bermula pada jam 6:30 pagi dengan pendaftaran peserta bagi acara larian dan berbasikal serta pengambilan kit para peserta. Setelah 415 orang peserta bagi acara larian dan 75 orang peserta berbasikal dilepaskan, di pentas utama berlangsung pula acara Pound with Hanis (PWH) dan aktiviti mewarna bersama Durioo yang melibatkan seramai 68 orang kanak-kanak. Seramai 200 orang peserta yang menyertai acara PWH. Penyertaan PWH sangat memberangsangkan!

Acara di pentas diteruskan dengan sesi Sembang Kemanusiaan bersama Farah Lee, Ikon Kemanusiaan CSM dan Pengasas Suci Cup sebagai ahli panel yang membawa topik Tentang Wanita. Selaku penaja utama Festival KITA, wakil daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga hadir bagi menyempurnakan acara penyerahan mock cheque yang bernilai RM50,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Tuan Ahmad Musa Nuwayri. MAPIM turut juga menaja Festival KITA dalam bentuk wang tunai sebanyak RM40,000 manakala MyAqsa Defenders pula menaja sebanyak RM30,000.

Tak lengkap sesebuah festival tanpa ada jualan. Sebanyak 16 buah reruai makanan, minuman dan produk tempatan dibuka sepanjang berlangsungnya Festival KITA itu. Acara penutup dimeriahkan dengan persembahan akustik oleh Aizat Amdan, penyampaian hadiah aktiviti mewarna dan cabutan bertuah.

Jutaan terima kasih buat Event Supporter yang menjayakan Festival KITA daripada sudut tajaan wang tunai dan barangan. Sekalung penghargaan buat Community Supporter yang terlibat dalam membuat hebahan berkenaan Festival KITA di media sosial masing-masing.

Run, Ride, Remember – Solidariti untuk kemanusiaan.
Jumpa lagi di lain acara!

Kongsikan entri ini

Berita Terkini

MEAL REPORT: Mega Event Sekolah KITA
MEAL REPORT: Ubah Suai Infrastruktur PBACSM
MEAL REPORT: Klinik Medical Village 2.0