Buat yang telah lama mengikuti perkembangan Cinta Syria Malaysia, kalian sudah tahu di mana titik permulaan terbinanya Cinta Syria Malaysia. Buat yang baharu mengikuti kami, Cinta Syria Malaysia telah diasaskan di bumi Jordan. Dalam masa sepuluh tahun, pelbagai program dan projek lestari telah kami usahakan, dalam memenuhi hak asasi rakyat Syria dan keperluan asas mereka.
Projek kelestarian Cinta Syria Malaysia yang pertama adalah di Jordan, iaitu Sekolah KITA I yang ditubuhkan di Mafraq pada tahun 2016, bagi memberi pendidikan percuma buat hampir 100 anak-anak mangsa perang Syria setiap tahun. Sekolah KITA I berperanan memberi pendedahan dan memastikan para pelajar betul-betul mendalami aspek 3M, iaitu Membaca, Menulis dan Mengira. Demi kelangsungan dan operasi Sekolah KITA I yang berpanjangan, Cinta Syria Malaysia telah berkolaborasi bersama Yayasan Min Qalby.
Seterusnya, kami jalankan pula projek ternakan kambing di Kem Abu Abdullah. Projek ternakan kambing ini bukan sahaja memberikan sumber makanan untuk komuniti di kem, malah secara langsung menyediakan peluang pekerjaan buat mereka. Insya-Allah, projek kelestarian seterusnya yang bakal dijalankan di Mafraq adalah sebuah #RuangKITA – sekolah kabin untuk anak-anak di Kem Abu Abdullah. Atas faktor kos pendidikan awal kanak-kanak di Jordan yang tinggi, Cinta Syria Malaysia dengan kolaborasi Childrity mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek ini bagi mengurangkan beban penduduk di Kem Abu Abdullah.
Manakala di Lubnan, disebabkan oleh keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi, pelarian Syria di sana tidak mampu untuk mendapatkan rawatan jika mereka sakit. Jadi pada tahun 2021 sehingga kini, kami bersama rakan strategik di Lubnan, iaitu URDA menubuhkan Klinik Medical Village bagi menampung kos ultrasound dan consultation wanita hamil, serta consultation anak-anak pelarian Syria, Palestin dan masyarakat Lubnan yang memerlukan.
Projek Klinik Medical Village ini akan mengurangkan beban pada peringkat awal rawatan, sekaligus merendahkan risiko kematian dalam kalangan pesakit. Projek kelestarian yang terbaharu di Lubnan adalah Solar untuk Syria. Projek ini dilaksanakan bagi membekalkan sumber tenaga elektrik yang berterusan kepada 218 buah keluarga yang merupakan penduduk di Kem Al-Yasmine, Lubnan. Lubnan ketika ini sedang berdepan dengan krisis tenaga menyebabkan penduduk di Kem Al-Yasmine terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik pada setiap hari, dan kadang kala hanya mendapat sumber bekalan kurang dari 6 jam sehari.
Di samping itu, di dalam Syria, melalui dana bantuan rakyat Malaysia, pada tahun 2020, kita semua telah berjaya membina bangunan sekolah baharu di Afrin, iaitu Sekolah KITA II, yang menempatkan hampir 350 orang pelajar Syria. Alhamdulillah, sekolah masih lagi beroperasi sehingga hari ini bersama bantuan daripada Kementerian Pendidikan Turkiye.
Ketika ini, projek kelestarian yang sedang dalam pembinaan di Syria adalah MySyria: Kampung KITA, sebuah projek penempatan kekal untuk pelarian Syria di Tal Abyad. Sekarang ini mereka tinggal dalam bangunan sekolah yang usang. Dalam satu bilik darjah, tiga buah keluarga berkongsi duduk yang mana dindingnya hanyalah kain kanvas. Semasa team kami kesana pada bulan Ramadan tahun lalu, kami menjadi saksi tiga buah keluarga tinggal di dalam satu bilik darjah, sempit dan bersesak-sesak. Di situlah tempat tidur, di situ jugalah tempat masak.
Projek ini menyasarkan pembinaan 20 unit rumah yang berkeluasan 45 meter persegi. Setelah siap rumah buat mereka, barulah kita baik pulih bangunan sekolah usang tersebut supaya ia akan kembali berfungsi sebagai sekolah. Sekolah yang bakal dibaikpulih itu nanti akan dijadikan Sekolah KITA yang ke-empat. Istimewanya projek kelestarian di Tal Abyad ini, kita bukan sahaja menghidupkan semula institusi pendidikan di situ, malah membangunkan komuniti setempat bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Tidak dilupakan juga di Malaysia, Cinta Syria Malaysia memiliki sebuah Sekolah KITA yang ketiga atau lebih dikenali dengan nama Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (PBACSM). Sudah 5 tahun kami beroperasi di Bandar Puteri Bangi dan kini telahpun berpindah ke bangunan baharu dengan ruang yang lebih luas dan fasiliti yang lebih baik di Bangi Sentral. Ini kerana jumlah pelajar yang semakin bertambah setiap tahun membuatkan kami tekad untuk mendapatkan ruang yang lebih besar. Dana masih diperlukan untuk memastikan projek Baik Pulih Sekolah KITA III ini berjalan lancar dan dapat memberi suasana belajar yang lebih kondusif dalam sesi Pengajaran dan pembelajaran.
Projek-projek kelestarian yang kami rancang ini tidak akan berjalan dengan lancar tanpa sokongan dan dokongan daripada kalian, terutamanya yang berada di dalam dewan pada malam ini. Sedikit demi sedikit, kita akan cuba untuk sama-sama bangunkan semula komuniti Syria walau di mana saja mereka berada terutamanya dari sudut pendidikan. Kami yakin, dengan pendidikan, modal insan akan terbina dan negara akan membangun.