Misi kali ini akan ke tiga negara untuk menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria, insya Allah.
Team Cinta Syria Malaysia (CSM) dibawa ke stor yang menempatkan barang bantuan yang sudah dibeli dan dipek lengkap. Barang bantuan berbentuk makanan asasi berjumlah 300 kotak ini akan diagihkan kepada pelarian Syria di sekitar Lubnan.
Antara yang dimuatkan di dalam kotak adalah beras, spaghetti, minyak masak, kacang dal, gula, teh dan lain lain. Susu untuk kanak-kanak juga akan diagihkan bersama-sama, insya Allah.
Agihan bermula dengan penyerahan 30 pek makanan, 120 pakaian musim sejuk dan susu kepada kepada 30 buah keluarga pelarian Syria di sekitar Lubnan.
Agihan pertama bermula di Kem Anut yang mempunyai 9 buah keluarga lalu diteruskan ke rumah-rumah yang terletak di sekitar kem itu.
Berlaku beberapa adegan yang menghibakan apabila kanak-kanak di kem memeluk erat baju sejuk yang diberikan. Agihan akan diteruskan lagi pada hari ini di kem pelarian yang lebih besar dan terletak di atas bukit bukit bersalji.
Hari ketiga. Seperti yang dijanjikan, kali ini team Cinta Syria Malaysia (CSM) mengagihkan sumbangan ke tempat yang lebih jauh dan sukar. Arsal, Lubnan. Sebuah daerah yang terletak betul-betul di sempadan Syria-Lubnan dan menempatkan hampir 150,000 pelarian Syria di sana.
Perjalanan pergi sahaja mengambil masa hampir 5 jam ditambah dengan checkpoint tentera yang sangat banyak. Kami ke sebuah kem bernama Mahabbah yang menempatkan 100 buah keluarga dan mengagihkan bantuan kepada semua keluarga yang ada di sana.
Senyum tawa mereka sebaik sumbangan bertukar tangan menjadi bukti betapa berharganya sumbangan kalian.
Hari keempat. Media CSM bertungkus lumus menyiapkan video dan gambar agihan saban hari untuk kalian menikmati suasana agihan yang berjalan di bumi Lebanon ini.
Kali ini sumbangan berjalan di sebuah kem yang menempatkan 40 buah keluarga bernama Hayah dan Nur. Kem ini terletak di sebuah kawasan terpencil di Ketermaya, Lubnan. Kehidupan mereka masih di dalam khemah nipis dalam keadaan sejuk yang mencengkam.
Lalu team bergerak pulak ke rumah-rumah pelarian Syria di sekitar kem tersebut untuk meneruskan agihan. Agihan pada hari keempat selesai kira-kira jam 4 petang.
Hari kelima. Sempena hari terakhir di Lubnan, sebuah agihan besar-besar diadakan di sebuah tempat bernama Daraiya di sana.
Seramai 200 buah keluarga mendapat manfaat hasil sumbangan daripada kalian. Misi akan diteruskan pula di Turki insya Allah.
Hari keenam. Alhamdulillah team Cinta Syria Malaysia (CSM) selamat tiba di bumi Turki. Sebaik menjejakkan kaki di bumi Gaziantep, kami terus bergerak memberi bantuan kepada beberapa buah keluarga ibu tunggal dan anak yatim yang tinggal di sekitar kawasan ini.
Hari kelapan. Team Cinta Syria Malaysia (CSM) mendaki bukit di sekitar Sanliurfa, Turki untuk menjejaki keluarga pelarian Syria yang tinggal di dalam gua-gua.
Mereka majoritinya bekerja mengembala kambing dan lembu milik orang Turki di situ. Kami turut menziarahi rumah yang menempatkan anak-anak yatim di sekitar Sanliurfa.
Agihan kali ini adalah di dalam bentuk pakaian musim sejuk kepada anak anak Syria.
Hari ke kesembilan. Team Cinta Syria Malaysia (CSM) berpeluang menziarahi adik Ammar di King Abdullah University Hospital di Irbid, Jordan. Anak ini baru sahaja selesai menjalani pembedahan akibat masalah kesihatan berkaitan dengan sistem imunisasi badan.
Siapa kanak-kanak ini?
Ammar, 11 tahun. Salah seorang mangsa kekejaman Basyar Al-Asad. Ammar kehilangan tangan dan kakinya dalam serangan bom 5 tahun yang lalu. Lebih sadis, kakak Ammar, Raghad yang turut tercedera telah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di Ramtha, Jordan.
Hari ke sepuluh. Team Cinta Syria Malaysia (CSM) telah ke sebuah Pertubuhan Islam yang menyediakan pendidikan alternatif kepada anak anak Syria yang tidak berkemampuan. Kami turut menziarahi kem Abu Abdullah yang sudah kami jaga sejak tahun 2013.