Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

Pelancaran Derma Kilat Akibat Kebakaran Di Kem Pelarian

Sebagai pembuka bicara, pihak ‘Tangisan Syria Di Bumi Jordan’ ingin memohon seribu kemaafan andai kisah ini mengganggu persiapan mahupun perasaan pembaca menjelang Hari Raya. Tetapi ujian yang menimpa saudara kita di bumi Jordan ini perlu dicerita untuk tatapan kita semua.

Jam 6.00 petang, bertarikh 6 Ogos 2013. 2 hari sebelum umat Islam di Jordan bakal menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa. Seperti biasa, keluarga Abu Lail yang tinggal di sebuah khemah di kem pelarian berdekatan Universiti Al-Bayt Mafraq, Jordan bersiap-siap untuk berbuka puasa. Apabila sebelum tiba-tiba, bunyi letupan kedengaran dari arah dapur.

Letupan akibat kebocoran gas itu menghasilkan api lalu menyambar kain lusuh khemah beliau. Anak-anak yang masih kecil segera dibawa keluar ke kawasan selamat. 10 minit. Ya, hanya 10 minit, dan khemah yang menjadi tempat mereka berteduh selepas menjadi pelarian dari Syria musnah sama sekali. Peti sejuk, periuk belanga, televisyen kecil yang menjadi peneman anak-anak tika ayah keluar bekerja dan segala-galanya musnah termasuk baju raya yang kami serahkan untuk anak-anak Abu Lail beberapa hari lepas.

Dalam tempoh 10 minit, mereka 7 beranak tinggal sehelai sepinggang. Tiada apa walau satu sen sempat diselamatkan kecuali anak-anaknya yang tidak ternilai. Walaubagaimanapun, jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan. Kini, Abu Lail beserta isteri dan anak-anak menumpang teduh di khemah berdekatan. Isteri beliau kelihatan masih terkejut atas apa yang berlaku. Manakala, anak-anak beliau yang masih kecil, riang berkejaran tanpa memahami apa yang sedang berlaku.

Sebentar tadi, kami sudah selesai melawat tempat kejadian dan keluarga mangsa yang terlibat. Kami antara sukarelawan yang terawal sampai ke tempat kejadian. Bantuan awal kami serahkan sebanyak JD200/RM900. Air mata yang ditahan jelas kelihatan di kelopak mata Abu Lail sebaik bantuan diserahkan. Semoga wang dan air mata itu menjadi saksi dan bukti sumbangan tuan-tuan dan puan-puan kepada saudara seislam yang ditimpa musibah.

Pihak Tangisan Syria Di Bumi Jordan menyampaikan bantuan awal.

Sehubungan dengan itu, pihak Tangisan Syria Di Bumi Jordan melancarkan derma kilat untuk membantu meringankan beban mereka. Derma kilat ini akan dijalankan selama SEMINGGU sahaja sebelum diserahkan oleh kami sendiri kepada keluarga berkenaan.

Kongsikan entri ini

Berita Terkini

MEAL REPORT: Mega Event Sekolah KITA
MEAL REPORT: Ubah Suai Infrastruktur PBACSM
MEAL REPORT: Klinik Medical Village 2.0