Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

Ziarah Mahabbah Mat Luthfi

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada vlogger terkenal tanah air, Saudara Matluthfi, Pengurus Hal Ehwal Semasa TV Al-Hijrah, Saudara Syirfan Indra dan CEO & Founder iluvislam.com, Saudara Imran Koyube yang sudi berkunjung ke pejabat Tangisan Syria Di Bumi Jordan dan meluangkan masa menziarahi 2 buah sekolah anak-anak pelarian Syria milik kami di kem pelarian dan Yayasan Khalid Ibn Walid.

Menarik sekali pengalaman yang dilalui bersama.

Sebaik mereka tiba di Mafraq, perjalanan ke sekolah di kem pelarian Syria Huwayja bermula. Memandangkan van milik Tangisan Syria Di Bumi Jordan digunakan pihak Yayasan Khalid Ibn Walid, kami terpaksa menyewa van kecil sehingga sebahagian daripada kami terpaksa berhimpit-himpit di bonet ala-ala ‘pelarian’ untuk ke destinasi. Sebelum ke kem, kami berhenti seketika di kedai borong makanan ringan untuk membeli sedikit gula-gula yang akan diagihkan di sana. Selesai memborong, Mat Luthfi mula buat perangai! Beliau minta izin untuk duduk sekali di dalam bonet van. Mahu sembang-sembang katanya. Fuhh, sempoi habis.

Tiba di kem, ujian bermula. Rupanya van kami diekori SB Jordan. Bermula pula sesi soal siasat dan katanya, kami ke kem pelarian tanpa izin sedangkan kami ke kem pada hari itu dengan kebenaran yang sah dari pihak Yayasan. Alhamdulillah, SB beri masa setengah jam untuk beraktiviti di kem dengan syarat, kami perlu pulang ke Mafraq dan melaporkan diri di pejabat mereka.

Selesai aktiviti melawat sekolah dan agihan gula-gula, aku ke pejabat SB manakala tetamu terus ke sekolah kedua di Yayasan. Askar yang menjaga di luar pagar bukan sembarangan. Kesemuanya memegang senapang besar-besar yang kalau diacu dan ditarik picunya, sah-sah berkecai kepala. 10 minit aku disuruh menunggu keseorangan di dalam pondok pengawal, sebelum SB yang mengekori kami di kem sebentar memanggil masuk.

20 minit diceramah dan diberi nasihat. Syukur. SB berkenaan melayan aku dengan baik. Sempat juga berbual perihal sepupunya yang belajar di ‘Kuala Lumbur’. Dan akhirnya, pengarah Yayasan datang dan aku dibebaskan. Alhamdulillah.

Apapun, pengalaman hari itu benar-benar berharga. Sekali lagi, jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Mat Luthfi yang sempoi, Abg Imran yang peramah dan Abg Syirfan yang sangat-sangat merendah diri. Tidak lupa pada AJK Tangisan Syria Di Bumi Jordan yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam menghias pejabat untuk menyambut 3 tetamu istimewa ini. Juga kepada pihak Krem Mpmmj sendiri yang memberi ruang dan peluang kepada kami untuk bertemu mereka di bumi Mafraq, Jordan.

Terima Kasih!

Kongsikan entri ini

Berita Terkini

MEAL REPORT: Mega Event Sekolah KITA
MEAL REPORT: Ubah Suai Infrastruktur PBACSM
MEAL REPORT: Klinik Medical Village 2.0